Bekas penyerang Barcelona, Luis Suarez menafikan dia mahu menamatkan kontrak lebih awal dengan Gremio kerana dia mahu bermain kembali bersama Lionel Messi.

Luis Suarez antara nama yang dikaitkan dengan Inter Miami untuk bergandingan semula dengan bekas rakan sepasukannya, Lionel Messi, Sergio Busquets dan Jordi Alba.

Dan ada pihak menuduh dia sengaja mahu menamatkan kontraknya dengan Gremio kerana mahu datang ke Inter Miami. Suarez dikatakan sanggup melakukan apa sahaja asalkan dia dapat kembali bermain dengan Messi.

Hubungan Luis Suarez dengan Lionel Messi sangat rapat. Dia adalah sahabat baik Messi dan pernah membuat pemain Argentina itu mengamuk ketika mendapat tahu Barca mahu menjualnya dahulu.

Luis Suarez menyertai Gremio pada Januari 2023 atas permintaan dia sendiri dan kelab itu setuju untuk memberikannya kontrak 2 tahun.

Walaupun berdepan dengan masalah kecergasan dan penurunan ‘peak’, Suarez masih berjaya menjaringkan 16 gol dalam 32 perlawanan pada musim lalu untuk Gremio.

Gremio memberikan kebenaran penamatan kontrak lebih awal iaitu pada Disember 2023 ini berbanding dengan Disember 2024 berdasarkan perjanjian sebelum ini.

Jadi Suarez hanya boleh menjadi ejen bebas pada 1 Januari 2024.

Inter Miami pernah menghubungi Gremio untuk perpindahan Luis Suarez namun perpindahan itu gagal.

Dan kini dia bercadang mahu menamatkan kontraknya lebih awal dengan kelab Brazil yang dia sedang wakili. Alasan utama Suarez adalah dia tidak mampu lagi bersaing dalam liga yang intensif seperti Liga Brazil dengan kecederaan lutut yang kronik.

Jadi Luis Suarez menafikan dia mahu menamatkan kontrak kerana Lionel Messi.

Suarez malah mempertimbangkan untuk bersara sepenuhnya daripada bola sepak jika dia tidak mendapat pasukan yang sesuai dengannya.

Suarez berkata: “Saya tidak dapat bermain untuk Gremio lagi musim hadapan seperti yang kelab mahukan. Saya ada masalah kecederaan lutut yang kronik untuk bermain dalam liga Brazil yang sangat intensif.”

“Saya sendiri tidak pasti sama ada saya akan berhenti bermain atau bermain dengan pasukan lain selepas ini. Namun saya mahu mengurangkan intensiti permainan.”